KOTA KINABALU, 19 Dis (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Negeri Sabah mengumumkan pelaksanaan Program Pensijilan Perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di Negeri Sabah. Program yang julung kali dijalankan di Sabah ini telah berjaya memberikan pensijilan kepada sepuluh operator pelancongan yang menunjukkan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pelancongan.
Pengarah MPC Wilayah Sabah, Encik Edward Binty, menyatakan bahawa program pengiktirafan MaTEx bertujuan untuk meningkatkan standard industri pelancongan di Malaysia, khususnya di Sabah. Program ini menyediakan mekanisme kawal selia kendiri yang membolehkan operator pelancongan menilai dan memperbaiki kualiti perkhidmatan mereka. Pensijilan ini adalah langkah penting untuk memastikan pengalaman pelancong berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Operator yang menyertai program ini dan menerima pengiktirafan akan mendapat faedah seperti peningkatan imej dan reputasi serta sokongan daripada kerajaan dalam bentuk promosi dan bantuan pembangunan. Kejayaan memperoleh pengiktirafan di peringkat MaTEx juga membuka peluang kepada operator untuk mencapai pengiktirafan di tahap yang lebih tinggi, meletakkan produk pelancongan di Sabah setaraf dengan produk pelancongan antarabangsa.
Sepuluh operator dalam kumpulan terawal di Sabah yang telah menerima pensijilan MaTEx terdiri daripada pelbagai jenis perkhidmatan pelancongan, termasuk ekopelancongan, pelancongan lasak, dan pengalaman budaya. Ini mencerminkan komitmen yang kuat daripada pemain industri untuk meningkatkan kualiti dan daya saing pelancongan di negeri ini.
MPC dan KePKAS mengalu-alukan semua operator pelancongan di Sabah untuk mendapatkan pensijilan MaTEx. Pada masa ini, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menyertai program ini. Di masa hadapan, MPC dengan kerjasama KePKAS bercadang untuk mengadakan siri penerangan kepada operator pelancongan di Sabah.
Melalui penyertaan dalam program pengiktirafan MaTEx, diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor pelancongan. MPC yakin Negeri Sabah akan terus menjadi destinasi pelancongan yang menarik dan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Izzaldin Irfan
Tel: 016-8816614
Emel: izzaldin@mpc.gov.my
--BERNAMA