KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan operasi bersepadu "OP PEDO" pada 23 disember 2024 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap suspek yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Objektif operasi bersepadu ini bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial disamping memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat serta penyedia platform tentang tanggungjawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak.
Menerusi operasi bersepadu ini, seramai 13 orang lelaki warga tempatan berumur di antara 20 hingga 74 tahun telah berjaya ditangkap dalam serbuan di enam (6) buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu. Kesemua suspek akan direman di bawah seksyen 117 kanun tatacara jenayah.
Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek, telah menemui anggaran 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa. Berikut adalah butiran peranti yang telah dirampas untuk siasatan lanjut:
I. 7 Unit set komputer;
Ii. 1 Unit komputer riba;
Iii. 11 Buah telefon bimbit; dan
Iv. 16 Unit modem dan router.
Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) di bawah
seksyen 10 akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah di bawah
seksyen 292 kanun keseksaan.
Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.
PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah.
(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
KETUA POLIS NEGARA
POLIS DIRAJA MALAYSIA
SUMBER: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Polis Diraja Malaysia (PDRM) UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tel: 03 86 88 80 00
Fax: 03 86 88 10 00E-mel : scd@mcmc.gov.my
Laman Web : www.mcmc.gov.my --BERNAMA