ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Januari 16, 2025 -Khamis

 
  SANTUNI MADANI PAAB DI KAMPUNG HAJI BAJURI, MANFAAT 1,500 PENDUDUK

Thursday 16/01/2025



Table

Dari kiri: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gambut, Herlman Mohd Karim, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim bersama penerima Anugerah Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan Gambut


BATU PAHAT, 16 Jan (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan memilih Kampung Haji Bajuri di Batu Pahat, Johor sebagai kampung angkatnya di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI.
 
Pemilihan kampung tersebut adalah sinonim dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Zulkiflee Omar yang merupakan anak jati kelahiran Kampung Haji Bajuri yang dijangka memberi manfaat kepada 1,500 penduduk kampung tersebut.
 
Menurut Ir. Zulkiflee, Santuni MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan bagi menyelami isu setempat serta menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk khususnya di Kampung Haji Bajuri.
 
Beliau berkata, PAAB menggariskan beberapa inisiatif yang mengetengahkan komitmen PAAB dalam meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat setempat di dalam aspek pendidikan, kemiskinan, kesihatan, infrastruktur dan kelestarian alam di kawasan berkenaan.
 
Justeru katanya, Program Santuni MADANI PAAB itu akan memastikan setiap objektif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, syarikat bekalan air Johor, Ranhill SAJ, pihak swasta serta penduduk setempat.
 
Antara inisiatif yang dirancang termasuklah Program Kelestarian dan Kitar Semula, Kempen Kesedaran Bersama Komuniti, naik taraf kemudahan masjid dan sekolah serta program pendidikan.
 
Ir. Zulkiflee berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kecemerlangan Murid dan Sumbangan Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gambut. Hadir sama, Guru Besar SK Gambut, Herlman Mohd Karim, Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim dan Ketua Kampung Gambut, Sharif Ahmad.

Pada majlis tersebut, PAAB menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah bernilai RM25,000 kepada 120 murid di SK Gambut dan 80 murid dari Sekolah Agama Gambut. Kesemua 200 pelajar dari Kampung Haji Bajuri itu dibekalkan Kit Kembali ke Sekolah yang mengandungi beg sekolah, botol minuman, set bekas makanan dan alat tulis setiap seorang.
 
Selain itu, SK Gambut dan Sekolah Agama Gambut masing-masing turut menerima sumbangan enam buah dan sebuah peranti TV pintar bagi kegunaan murid di kedua-dua sekolah berkenaan.
 
PAAB berharap, kesemua sumbangan itu dapat meningkatkan keupayaan murid di kawasan berkenaan mengikuti sesi pengajaran secara digital seiring perkembangan teknologi dalam sistem pendidikan negara.
 
PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan dikawal selia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset-aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetitif.
 
Untuk rekod, Syarikat Air Johor (kini Ranhill SAJ Sdn. Bhd.) telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Johor pada 2009. Antara projek yang bakal dilaksanakan oleh PAAB di Batu Pahat termasuk menaik taraf infrastruktur loji rawatan air serta pemasangan paip utama di sekitar daerah berkenaan.

Pautan: 
https://drive.google.com/drive/folders/1NMJEpn3rZhj5pe_4seeYsN-TXC3RGwhv


SUMBER: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: KHAIRIL AMRI TAJUDDIN
Bahagian Komunikasi Korporat 
Tel: 017-4060717
Email: amri@paab.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.