KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin menegaskan bahawa status keselamatan produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Hasil pemantauan terkini yang dijalankan oleh PKKM mendapati bahawa
produk gula-gula jenama Apple S dikesan mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan. Sibutramine merupakan sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan (appetite suppressant) yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan. Ubat ini merupakan bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.
Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat. Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.
Produk tersebut didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport. Oleh itu, produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Gambar produk ini dilampirkan.
Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut
diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan. Di samping itu,
semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut. Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu
menghentikan penggunaan produk tersebut serta merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau
facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
www.facebook.com/bkkmhq.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
23 JANUARI 2025 LAMPIRANSUMBER: Kementerian Kesihatan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde KhuzainiPegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187--BERNAMA