|
|
Februari 07, 2025 -Jumaat |
|
|
|
|
|
|
SITUASI TERKINI BANJIR DI SABAH DAN SARAWAK
Monday 03/02/2025
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berkenaan situasi terkini banjir yang melanda Sabah dan Sarawak berikutan hujan berterusan semenjak 10 Januari 2025. Pada 2 Februari 2025, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Peringkat Waspada (Kuning) bagi Barat Sarawak, berkuatkuasa dari 4 Februari 2025 hingga 5 Februari 2025.
Portal Info Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), melaporkan terdapat peningkatan bilangan mangsa banjir pada 2 Februari 2025 pada jam 7.00 petang, iaitu seramai 13,862 orang dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang aktif meningkat kepada 73 berbanding 12,983 orang dengan bilangan 67 PPS pada jam 8.00 pagi hari yang sama. Sarawak mencatatkan bilangan mangsa banjir seramai 12,409 orang melibatkan 64 PPS, manakala bilangan mangsa banjir di Sabah adalah seramai 1,453 orang melibatkan sembilan (9) PPS.
Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 30 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir di Sarawak dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 fasiliti telah beroperasi semula. Bagi Sabah pula, secara keseluruhannya terdapat 27 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir dan kesemua fasiliti tersebut telah beroperasi semula.
Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing masing iaitu 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua PPS terlibat.
Seramai 9,379 mangsa telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS. Daripada jumlah ini, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis, dan satu (1) kes Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut dilaporkan. Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19, dan kejadian wabak dilaporkan di PPS.
Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah digerakkan. Jumlah MHPSS yang terlibat adalah tiga (3) pasukan, terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik, serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori. Pelbagai aktiviti intervensi teknik relaksasi, ekspresi seni, serta psiko-pendidikan telah dijalankan. Sehingga kini, tiada mangsa banjir yang dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.
KKM sentiasa bersiap sedia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi semua mangsa banjir yang melanda kedua-dua negeri ini. KKM juga ingin menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit. Orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau maklumat cuaca terkini, serta menyiapkan peralatan dan dokumen penting yang perlu dibawa bersama sekiranya perlu berpindah. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dengan segera sekiranya menghadapi tekanan emosi. KKM berharap, dengan kerjasama semua pihak, kesihatan dan keselamatan semasa musim banjir dapat dipelihara.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 3 FEBRUARI 2025
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Tel : +603-8883 3470 Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA |
|
|
|
|
|