Februari 07, 2025 -Jumaat

 
  PENJELASAN BERKENAAN GARIS PANDUAN JEMPUTAN PANEL DAN PENGIKLANAN DI RADIO IKIMFM

Thursday 06/02/2025



KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum berkenaan kritikan yang tular di media sosial yang mempertikaikan kandungan yang disampaikan oleh panel undangan yang bersiaran serta pengiklanan yang dikatakan bercanggah dengan fakta kesihatan. Sehubungan dengan itu, IKIM ingin menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan berdasarkan siasatan dalaman, perkara yang didakwa tidak berlaku di stesen Radio IKIMfm.

Sebagai sebuah institusi yang berlandaskan kefahaman Islam yang sahih, Radio IKIMfm mengamalkan garis panduan ketat dalam mengundang panel jemputan untuk bersiaran di stesen radio kami. Setiap panel yang dijemput mesti memenuhi kriteria berikut seperti yang termaktub dalam Garis Panduan Tetamu Luar Bersiaran di Pusat Media IKIM:

1. Kelayakan dan Pengalaman: Panel jemputan mestilah individu yang mempunyai kelayakan akademik yang relevan atau pengalaman luas dalam bidang yang dibincangkan.
2. Kepatuhan kepada Pegangan Islam yang Sahih: Setiap panel perlu memastikan pandangan mereka selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negara.
3. Pematuhan Etika Penyampaian: Panel tidak dibenarkan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan pendengar atau menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

Selain itu, Radio IKIMfm juga mempunyai Prosedur Siaran Pengiklanan yang memastikan setiap iklan yang disiarkan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta piawaian syariah yang ditetapkan oleh IKIM sendiri. Semua iklan yang disiarkan di Radio IKIMfm telah melalui proses tapisan yang ketat oleh Jawatankuasa Kelulusan Iklan bagi memastikan kandungan pengiklanan tidak bercanggah dengan fakta kesihatan atau mengandungi unsur yang boleh mengelirukan pendengar.

Radio IKIMfm sentiasa komited untuk menyampaikan maklumat yang sahih, bermanfaat dan berpaksikan kepada ajaran Islam yang sebenar. Kami menghargai setiap maklum balas daripada pendengar dan masyarakat serta akan terus memastikan kandungan yang disiarkan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih,
 
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
6 Februari 2025 bersamaan 7 Syaaban 1446H
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.