ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 30, 2024 -Selasa

 
  IPICEX2016 AKAN KE JOHOR BAHRU!

Friday 14/10/2016



SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Industri Perladangan Ke-5 (IPiCEx2016), hasil anjuran sama antara International Institute of Plantation Management (IIPM) dan UiTM Melaka, adalah merupakan satu forum perdana  yang mengetengahkan isu-isu, kemajuan baru, dan dapatan kajian di dalam sektor perladangan dan komoditi. Selain menyediakan satu landasan untuk peserta membina dan mengukuhkan rangkaian mereka dengan saintis-saintis yang terkenal, ahli pertanian, penggubal dasar, dan profesional dari industri, persidangan ini juga akan mengadakan pameran, Pertandingan IPICEx, dan mengelolakan satu lawatan pasca persidangan.

Dengan tema “Shaping the Future of the Plantation Industry: Changing Trends, Opportunities and Sustainability”, tajuk-tajuk seperti pengurusan bakat, transformasi industri, pertanian bersepadu, cabaran dan penyelesaian lestari, pembangunan teknologi dan aplikasi akan dihuraikan dengan mendalam oleh pembentang-pembentang yang pakar.

Persidangan ini akan dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Datuk Mah Siew Keong. Antara pengucaptama yang terkenal adalah YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron, dari Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), dan YBhg. Datuk Dr. Mohd. Akbar Md. Said, FiiPM, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM). Sebanyak 13 kertas kerja akan dibentangkan oleh para pembentang tempatan dan dari luar negara. Satu majlis makan malam juga akan diadakan untuk meraikan peserta dan sempena penganugerahan Keahlian Felo IIPM, yang akan disampaikan kepada penerima-penerimanya oleh YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor.   

Mengapa di Johor?

IPiCEx 2016 akan dianjurkan di Johor atas pengiktirafan kepada kemajuan pesat negeri itu dalam pertanian, dan sebagai pengeluar makanan yang utama di Malaysia. Johor terletak di kedudukan paling selatan di Malaysia, dan hampir dengan Indonesia. Indonesia dan Malaysia adalah pengeluar terbesar minyak sawit, pengeluar utama getah asli, dan hasil-hasil perkayuan.

Tambahan lagi, Johor Bahru semakin melonjak masyhur sebagai satu pusat untuk bermesyuarat, insentif, bersidang, dan pameran (MICE). Ia mudah diakses dari kebanyakan tempat di dunia, serta menawarkan prasarana moden dengan pelbagai kemudahan yang baik,  mempunyai landskap politik yang stabil, dan ekonomi tempatan yang terus berkembang maju yang disokong oleh sistem perbankan dan kewangan yang mantap. Koridor Pembangunan Iskandar,  yang terletak di titik hujung selatan Negeri Johor meliputi kawasan seluas 221,634 hektar,  adalah salah satu daripada pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Dengan ekonomi yang cergas di Johor, industi MICE juga berkembang. Sebagai contoh ialah Hotel Thistle di Johor Bahru yang menjadi tempat mengadakan persidangan ini. Hotel Thistle Johor Bahru merupakan satu-satunya hotel bertaraf 5-Bintang di Zon A Bandaraya Johor Bahru yang sedang berkembang pesat di Wilayah Iskandar. Hotel ini terletak  berdekatan dengan Edu City, Pusat Konvensyen Persada, dan dua buah pusat membeli belah mewah. Hotel ini hanya sejauh 10 minit pemanduan kereta dari tambak yang menghubungkan Johor dan Singapura.

Siapa, dan mengapa anda harus hadir?

Justeru, kami menjemput peserta dari semua sektor industri perladangan dan komoditi – samada kerajaan atau swasta,  individu, penyelidik dan ahli sains, ahli akademik dan pelajar – untuk menyertai kami ke acara dwi-tahunan yang berfaedah ini, bukan sahaja untuk mengunjungi pameran teknologi dan inovasi, tapi turut serta di dalam  perbincangan yang dapat mengembangkan ilmu pengetahuan,  dan menyertai lawatan pasca-persidangan yang membuka minda. Peserta akan berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan buah fikiran, berbincang, dan mengumpul ilmu dengan penggubal dasar, profesional industri, ahli sains dan ahli akademik mengenai pelbagai isu di industri perladangan dan komoditi.

Apakah IIPM?

International Institute of Plantation Management (IIPM) adalah sebuah badan ikhtisas (profesional) yang mewakili semua sektor di industri perladangan. IIPM telah diasaskan pada Mei 2005, sebagai satu cabang  (offshoot) kepada Universiti Teknologi Mara (UITM), dan didaftarkan sebagai di bawah  Trustee Company limited by guarantee. Kewujudan IIPM adalah bertujuan untuk menaiktaraf profesion peladang (planters), menyediakan satu organisasi dan keahlian kepada peladang, meningkatkan peluang kemajuan professional mereka, dan menjadi satu pusat rujukan kebangsaan kepada industri perladangan.

Program-program profesional yang ditawarkan oleh IIPM ialah Sijil Pengurusan Industri Perladangan (Certificate in Plantation Industry Management, CPIM), Diploma Profesional Pengurusan Perladangan (Professional Diploma in Plantation Management, PDPM), dan Peperiksaan Kelayakan Profesional Pengurusan Industri Perladangan (Professional Qualifying Examination (PQE) in Plantation Industry Management). CPIM adalah setara dengan Tahap 3, sementara PDPM adalah setara dengan Tahap 4 di dalam  Malaysian Qualifications Framework (MQF). PQE pula turut diiktiraf oleh MQA dan adalah setara dengan Ijazah Sarjana Muda.  Program profesional lain yang turut ditawarkan oleh IIPM ialah Kursus Profesional Kelayakan Pakar (Specialist Professional Qualification Course), dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk  Visiting Agents dan Planting Advisors, bagi kelapa sawit dan getah. Graduan kursus tersebut akan dianugerahkan dengan gelaran “Peladang Bertauliah (Certified Planter, CP)”. 

Untuk maklumat lanjut mengenai IPiCEx 2016, kursus-kursus profesional dan keahlian yang ditawarkan oleh IIPM,  sila layari laman web kami di www.iipm.com.my.

HALID HASBULLAH BOESTAMAM
PENGARAH URUSAN, IIPM
TIMBALAN PENGERUSI, IPiCEx 2016

SUMBER : International Institute of Plantation Management (IIPM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Encik Mohd Najid bin Abd. Rashid 
Tel: 03-5522 5534/ 03 - 5522 5531 / 019-282 2850
Faks: 03-5522 5534
Emel: najid@iipm.com.my 


--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.