ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 30, 2024 -Selasa

 
  KENYATAAN MEDIA : MUZAKARAH PAKAR "HIDUP DAN MATI - ANTARA KEFAHAMAN ISLAM NEUROSAINS"

Friday 28/10/2016



KUBANG KERIAN, Kelantan, 28 Okt (Bernama) -- Perbezaan pendapat tentang pemahaman istilah yang digunakan oleh agamawan dan ahli sains terutamanya yang berkaitan dengan bidang perubatan dan neurosains seringkali timbul. Antara istilah tersebut adalah jantung, hati, qalb, otak, hayat dan kematian. Perbezaan pendapat seperti itu akan membawa kepada kekeliruan dan salah faham yang mengakibatkan tiada kesepakatan dalam menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan insan. 

Baru-baru ini Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia telah mengadakan satu muzakarah pakar yang membincangkan persoalan 'Hidup dan Mati' : Antara Kefahaman Islam dan Neurosains'. Objektif muzakarah pakar ini adalah untuk melihat hakikat penciptaan insan bermula dengan kehidupan, berakhir dengan kematian menurut fahaman Islam dan juga dengan pandangan neurosains yang konvensional, memperhalusi maksud yang terkandung dalam sesuatu istilah berasaskan ilmu perubatan semasa serta pandangan Islam selain daripada mencari kesepakatan makna istilah-istilah yang digunakan. 

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Azizan Baharuddin, muzakarah kali ini memberi tumpuan khusus terhadap tema kehidupan yang berhubung rapat dengan Sains dan perspektif Islam itu sendiri. Hasil perbincangan dan pemuafakatan daripada muzakarah ini amat penting dan relevan kepada para pengkaji dan juga umat Islam secara umumnya untuk dijadikan panduan dalam urusan berkaitan yang dilihat begitu dekat dengan semua.

Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM menyatakan bahawa sejak dahulu lagi orang Islam mempelopori bidang sains dan adalah diharapkan program muzakarah seperti ini dapat dijadikan landasan dalam mencari idea-idea baharu untuk penyembuhan serta penawar penyakit yang ada dewasa ini dan perlu diingat, sains tanpa nilai mungkin boleh membawa kita ke jalan yang tidak betul. 

Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan merangkumi empat tajuk berkaitan hidup dan mati iaitu : perspektif menyeluruh ; pemahaman dalam neurosains dan perubatan ; pendirian usuluddin dan falsafah ; serta panduan fiqh dan usul fiqh. Muzakarah ini menghimpunkan pakar-pakar perubatan, syariah serta bahasa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dewan Bahasa dan Pustaka, IKIM serta USM. 

Kesinambungan daripada muzakarah pakar ini, satu terbitan baharu IKIM bertajuk "Islam & Neurosains : Isu dan Cabaran" telah dilancarkan. Buku suntingan bersama Dr. Mohd. Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM dan Dr. Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar ini mengupas mengenai isu-isu Islam dan sains secara ilmiah yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan baik daripada kalangan neurosaintis mahupun daripada kalangan agamawan. Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 'Islam dan Insan', 'Perihal Neurosains dan 'Islam dan Neurotika'. 

Buku yang mengandungi tujuh bab ini merupakan salah satu daripada langkah-langkah untuk merealisasi Memorandum Persefahaman antara IKIM dan Pusat Perkhidmatan Dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro). Buku tersebut juga melibatkan wakil daripada P3Neuro USM yang turut terlibat sebagai penyumbang bab dalam buku. Semoga usaha kecil IKIM ini menjadi rujukan asas kepada pengkajian yang menekuni bidang neurosains yang semakin berkembang dan menjadi tumpuan pada hari ini.

SUMBER : INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI:
Unit Perhubungan Korporat
Nama : En. Gulam
Tel : 03-6204 6331 /017-409 4490

--BERNAMA 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.