ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 02, 2024 -Khamis

 
  KENYATAAN MEDIA DIALOG KEHARMONIAN ANTARA PENGANUT AGAMA: “AGAMA DAN PERUBAHAN IKLIM DUNIA”

Thursday 24/11/2016



SARAWAK, 24 Nov (Bernama) -- Satu Dialog Keharmonian Antara Penganut Agama yang bertemakan “Agama dan Perubahan Iklim Dunia” anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah diadakan dalam usaha membina kesedaran kepada golongan belia khususnya berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam serta bagaimana menghadapi kesan perubahan iklim hari ini.  Dialog ini juga memberi satu gambaran yang baik tentang usaha pelbagai pihak untuk membina keharmonian dan perpaduan di antara masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.
 
Perubahan iklim dan cuaca keterlaluan telah mengakibatkan bencana alam antaranya banjir, tanah runtuh, kemarau, kenaikan paras laut, kebakaran hutan dan jerebu, di samping memberi kesan ke atas keselamatan dan kesihatan manusia serta menggugat ekonomi negara.  Kesan perubahan iklim dunia dan peningkatan suhu global sememangnya dihadapi oleh semua umat sejagat kini termasuk kemusnahan ekosistem yang menjadi sumber makananan yang memberi impak kepada kesinambungan hampir semua kehidupan.  Antara penyumbang utama kepada perubahan iklim dunia yang berlaku hari ini adalah disebabkan oleh kerakusan manusia memusnahkan alam sekitar, kewujudan industri atas nama pembangunan yang telah menyumbang kepada peningkatan suhu global serta ketidakcekapan manusia menggunakan sumber asli yang dianugerahkan oleh Tuhan.  Ini telah menyumbang kepada perubahan iklim yang amat ketara.

Laporan Panel Antara Kerajaan dan Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa suhu permukaan bumi meningkat daripada 1.1 Celsius kepada 6.4 Celsius pada abad ke-21 dengan peningkatan ketara pada tahun 1990-an.  Sehubungan itu, tanggungjawab untuk menangani kesan perubahan iklim dunia ini dan juga usaha untuk mengurangkan kesannya kepada manusia dan alam harus sedia dipikul oleh setiap individu terutamanya oleh mereka yang beragama.
 
Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Ketua Pengarah IKIM berharap agar penganut agama akan memperkukuhkan pegangan nilai dan prinsip yang digariskan oleh sistem kepercayaan masing-masing supaya timbul satu kesedaran dan amalan yang dapat memelihara alam sekitar.  Dialog antara penganut agama merupakan mekanisme yang sesuai bagi membicarakan tentang isu yang dihadapi bersama dari perspektif masing-masing.
 
Beliau mengharapkan dengan usaha sebegini, penganut-penganut agama di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia dapat bersama dalam suasana yang harmoni dan bersatu padu memainkan peranan yang lebih efektif memastikan alam ini terus dipelihara untuk kebaikan generasi hari ini dan masa hadapan.
 
Menurut YB Puan Rosey Haji Yunus, Menteri Muda Solidariti, Sarawak, dialog antara penganut agama mengenai isu-isu yang melanda manusia hari ini adalah satu platform yang penting dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah yang berlaku.  Setiap dari kita merupakan penganut agama yang semestinya berpegang kepada nilai yang dibawa oleh agama kita masing-masing.  Tiada agama yang mengajar penganutnya nilai-nilai negatif yang bertujuan merosakkan kehidupan yang hampir keseluruhannya bergantung kepada alam sekitar.  Justeru, dalam konteks program ini, tujuan utamanya ialah supaya penganut agama memahami tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam mengatasi cabaran untuk memastikan sumber-sumber asas kehidupan seperti air dan udara yang bersih, hutan dan biodiversiti dapat kita lestarikan ke masa hadapan.

Kesinambungan daripada itu, satu forum ad-deen dengan tajuk "Islam dan Perubahan Iklim" turut diadakan di Islamic Information Centre (IIC) Sarawak. Forum ini membariskan Datuk Dr. Azizan Baharuddin dan Puan Hajjah Zabariah Haji Matali sebagai ahli-ahli panel sementara DJ Ahmad Nazri bin Mohd. Yusof, Penerbit Rancangan Kanan, IKIMfm sebagai moderator. 

Sumber : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Gulam bin Haji Waris
Unit Perhubungan Korporat
Tel : 03-6204 6200 (G/L), 03-6204 6331 (D/L), 017-4094490

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.