ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  ​AKTIVITI YAMAHA MOTORSPORTS UNTUK MUSIM 2017

Friday 03/03/2017

AsiaNet 67656

IWATA, Jepun, 3 Mac, 2017 /Kyodo JBN-AsiaNet/ --

Yamaha Motor Co., Ltd. (Tokyo: 7272) dengan bangganya membentangkan sambungan strategi Yamaha Racing untuk musim 2017 bagi perlumbaan di atas jalan dan di rupa bumi yang kasar. Yamaha telah menyusun semula strategi global jangka sederhana hingga ke jangka panjang mereka pada tahun 2015 - tahun yang menandakan ulang tahun ke-60 syarikat itu - dan telah terlibat di dalam pelbagai inisiatif korporat di bawah dasar-dasar asas mereka untuk aktiviti perlumbaan: meningkatkan nilai jenama Yamaha, memperoleh teknologi canggih dan menggalakkan perlumbaan motosikal.

(Foto:
http://prw.kyodonews.jp/prwfile/release/M102500/201703029492/_prw_PI1fl_7n6l2U7g.jpg)
 
Dengan perancangan-perancangan ini ditetapkan untuk tahun 2016, Yamaha cemerlang di dalam kategori tertinggi dalam perlumbaan. Yamaha menggondol Gelaran Pasukan dan tempat kedua dan ketiga dalam ranking muktamad pelumba bagi Kejohanan Dunia MotoGP,  meraih kemenangan kedua berturut-turut di dalam Kejohanan Dunia Endurance pusingan Suzuka 8 Jam yang berprestij dan mendapat anugerah perlumbaan yang lain, sekali gus memperbaiki teknologinya dan mengembangkan nilai jenama itu.

Selain itu, Yamaha terus secara global memperluaskan program strategik mereka, yang dimulakan dua tahun lalu, untuk menemui dan membangunkan bakat muda. Yamaha Racing Team telah ditubuhkan pada tahun lepas untuk bersaing dalam kelas SuperSports 600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). Selain itu, bekerja bersama-sama dengan Valentino Rossi dan VR46 Riders Academy, Yamaha VR46 Master Camp dilancarkan, untuk memberikan peluang yang terbaik kepada pelumba muda ARRC yang menonjol untuk menggilap kemahiran mereka di "tempat kelahiran perlumbaan motosikal".

Di bawah polisi asas yang sama, Yamaha akan menjalankan aktiviti perlumbaan mereka di peringkat global pada tahun 2017, dengan mensasarkan untuk meraih banyak kemenangan dan untuk menzahirkan slogan jenama "Tingkatkan Denyutan Jantung Anda".

Maklumat mengenai Yamaha Motor Racing: https://global.yamaha-motor.com/race/
 
Perlumbaan Jalan Raya

Dalam Kejohanan Dunia MotoGP Factory Racing Team dari Yamaha -- yang meraih Gelaran Pasukan pada musim lalu -- akan menyenaraikan Valentino Rossi, yang menduduki tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan bagi tiga musim yang lalu. Beliau akan sekali lagi berusaha untuk mendapatkan Gelaran Kejuaraan Dunia beliau yang ke-10 pada musim ini. Beliau akan disertai di kotak pit Movistar Yamaha MotoGP oleh Maverick Vinales, yang baharu sahaja menyertai pasukan itu selepas meraih tempat keempat di dalam kedudukan  selepas hanya dua musim menyertai kelas utama itu pada tahun lepas. Pasukan satelit Monster Yamaha Tech3 akan membariskan juara dua kali berturut-turut Moto2 Dunia Johann Zarco bersama-sama dengan Jonas Folger, yang menduduki tempat ketujuh keseluruhan pada Kejohanan Dunia Moto2 pada musim lalu. Keempat-empat pelumba akan menunggang motosikal YZR-M1 dan akan bersaing untuk membantu Yamaha menyapu bersih tiga tempat teratas berikutan penguasaan terakhir mereka di dalam kelas MotoGP pada tahun 2015.

Tahun lepas, Yamaha kembali menyertai Kejohanan Dunia Superbike MOTUL FIM (WorldSBK) selepas menyepi selama lima tahun. Bersaing pada musim ini di dalam Pata Yamaha Official WorldSBK Team ialah Alex Lowes, yang menyumbang kepada kemenangan kedua berturut-turut Yamaha di Suzuka 8 Jam pada tahun lalu dan menduduki kedudukan ke-12 keseluruhan dalam kelas WorldSBK musim lalu. Tahun ini beliau disertai oleh Juara Supersport Dunia 2014 Michael van der Mark, yang menduduki tempat keempat dalam WorldSBK musim lalu dan mencapai kemenangan berturut-turut di Suzuka 8 Jam pada tahun 2013 dan 2014. Kedua-dua mereka berhasrat untuk membuktikan bahawa YZF-R1 adalah motosikal yang paling pantas di pasaran dan menyasarkan untuk memperolehi Gelaran Kejuaraan WorldSBK yang pertama untuk Yamaha dalam kelas itu sejak tahun 2009.

Selain WorldSBK, Yamaha akan kembali menyertai Kejohanan Supersport Dunia FIM (WorldSSP) pada tahun ini dengan GRT Yamaha Official WorldSSP Team, dengan mengemukakan pelumba Lucas Mahias. Beliau menunggang untuk GMT94 Yamaha Official EWC Team pada tahun 2016, dengan memperolehi gelaran Pelumba Juara Dunia Endurance 2016 dan membantu mereka meraih tempat kedua dalam Kejohanan Dunia Endurance untuk tahun kedua berturut-turut. Pada tahun ini, peserta dari Perancis itu akan menunggang bersama-sama rakan sepasukan dari Itali dan pendatang baru Yamaha Federico Caricasulo menggunakan YZF-R6 yang terkini, jentera yang telah memperolehi gelaran di pelbagai kejohanan.

Di dalam Kejohanan Superstock 1000 Eropah (STK1000), Florian Marino dan Roberto Tamburini akan menunggang YZF-R1M bagi Pata Yamaha Official STK1000 Team.

Dalam Kejohanan Dunia Endurance FIM, yang memulakan musimnya pada September 2016, GMT94 Yamaha Official EWC Team dan YART Yamaha Official EWC Team sedang berusaha untuk menambahkan bilangan gelaran kejuaraan mereka. Tambahan pula, Yamaha sekali lagi akan bersaing di Suzuka 8 Jam dengan sebuah pasukan kilang, selepas memenangi dua tahun sebelumnya, dan berhasrat untuk mencatat buat kali pertama kemenangan ketiga mereka secara berturut-turut. Di samping itu, pelumba Jepun Kohta Nozane, yang telah membuat kemajuan yang mantap menunggang untuk pasukan belia Yamaha dalam Kejohanan Motosikal All Japan utama kelas JSB1000, akan membuat peningkatan daripada persaingan di peringkat Asia kepada peringkat dunia sebagai seorang pelumba biasa dengan YART Yamaha Offcial EWC Team.

Dalam Kejohanan Motosikal Amerika Utara MotoAmerica AMA/ FIM, kejohanan motosikal utama di Amerika Utara, juara berturut-turut musim lalu Cameron Beaubier sekali lagi akan digandingkan dengan Juara empat kali Superbike Josh Hayes dalam Monster Energy/Yamalube/Yamaha Factory Racing Team untuk musim 2017. Yamaha juga akan mempunyai pasukan yang mengambil bahagian dalam kelas Superstock 1000 dengan YZF-R1 dan dalam Supersport dan Superstock kelas 600 dengan YZF-R6 yang baharu berhasrat untuk memenangi setiap kejuaraan masing-masing.

Dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Yamaha Racing Team akan bertanding di dalam kelas 600 SuperSports dengan pelumba Yuki Ito, yang menamatkan musim lalu di kedudukan ke-13, dan penunggang Thai Keminth Kubo. Kubo adalah anggota Pasukan Norick, yang diasaskan oleh bekas pelumba GP mendiang Norifumi "Norick" Abe, dan telah mempertajamkan kemahirannya di dalam siri perlumbaan tempatan Jepun serta Suzuka 4 Jam. Pasukan itu akan sekali lagi menyasarkan gelaran itu pada musim kedua dalam kelas itu dan pada masa yang sama membangunkan dua daripada pelumba muda mereka.

Pada tahun 2016, seorang pelumba Yamaha telah memenangi gelaran kelas AP250 ARRC dan tahun ini anak syarikat tempatan akan terus mengendalikan pasukan itu dengan sokongan daripada Yamaha dalam cabaran untuk mendapatkan gelaran kedua berturut-turut untuk jenama itu dan pada masa yang sama terus membangunkan bakat-bakat muda mereka.

Tambahan pula, projek Kem Induk VR46 Yamaha, yang bermula pada tahun 2016 dengan kerjasama Valentino Rossi VR46 Riders Academy, yang bertujuan untuk membangunkan pelumba muda dan menggalakkan kemajuan mereka melalui struktur meningkat setapak demi setapak, akan diadakan sekali lagi pada tahun 2017. Tahun lepas, enam pelumba muda Asia mengambil bahagian dalam Kem Induk itu. Antara mereka, pelumba Thai Apiwat Wongthananon yang telah menonjolkan kemahiran dan potensi masa hadapan dan beliau telah dipilih untuk menyertai VR46 Master Camp Team dan bersaing di dalam Kejohanan Remaja Dunia CEV Moto3 pada tahun ini. Pada edisi Kem Induk VR46 Yamaha yang akan datang, pelumba muda yang berpotensi dari seluruh dunia akan dipilih untuk hadir, dengan harapan untuk membangunkan pelumba motosikal masa hadapan yang berkembang maju di peringkat dunia.

Motocross / Supercross
Dalam Kejohanan Dunia Motocross, Juara Dunia MXGP 2015 Romain Febvre, yang menduduki tempat keempat pada tahun 2016, akan sekali lagi menunggang untuk Monster Energy Yamaha Factory MXGP Team bersama rakan sepasukannya Jeremy Van Horebeek, yang menduduki tempat keenam keseluruhan tahun lepas. Kedua-dua mereka menunggang YZ450FM spesifikasi kilang dalam usaha mereka untuk merebut kembali gelaran MXGP itu. Membuat penyertaan baharu dalam kelas MXGP untuk musim ini ialah Wilvo Yamaha Official MXGP Team, yang mengemukakan motosikal YZ450F yang dikendalikan oleh pelumba MXGP berpengalaman Shaun Simpson dan Arnaud Tonus, dengan Tonus meningkat setapak daripada Kejohanan Motocross AMA kelas 250.
 
Di dalam kelas MX2, Benoit Paturel yang menduduki tempat ketiga pada musim lepas disertai oleh Brent Van doninck dan Alvin Ostlund dalam Kemea Yamaha Official MX2 Team, kesemua mereka menunggang YZ250F dengan sasaran untuk merangkul kemenangan pada kejohanan itu.

Monster Energy/ Yamalube /Chaparral /Yamaha Financial Services /Yamaha Factory Racing Team akan bersaing dalam kelas 450cc utama di Kejohanan Supercross AMA yang memulakan musim mereka pada 7 Januari lalu. Pelumba mereka adalah Juara dua kali kelas 450cc Chad Reed, yang kembali ke Yamaha selepas tujuh tahun dan menduduki tempat kelima pada musim lepas, dan Cooper Webb, pelumba muda yang berbakat yang memenangi kedua-dua gelaran Supercross 250cc Divisyen Barat dan 250cc Motocross pada tahun 2016. Kedua-dua pelumba itu akan menunggang motosikal YZ450F dan berazam untuk menjulang kejuaraan pertama mereka bagi Yamaha di dalam kelas perdana itu sejak tahun 2009.

Pasukan Yamaha yang lain turut mengambil bahagian di dalam Kejohanan Supercross 450cc dan Kejohanan Supercross 250cc Timur dan Barat Supercross dengan menyasarkan untuk meraih gelaran mereka masing-masing, termasuk Pasukan Yamalube/ Star Racing/Yamaha yang telah menghasilkan pelumba terkemuka seperti Cooper Webb.

Enduro
Dalam Kejohanan Dunia Enduro, Loic Larrieu akan bersaing di dalam  WR450F di dalam kelas EnduroGP dan Jamie McCanney, di WR250F, dengan berhasrat untuk memberi impak di dalam kelas Enduro 2 bagi Outsiders Yamaha Official Enduro Team.
 
(Dokumen:
http://prw.kyodonews.jp/prwfile/release/M102500/201703029492/_prw_PA1fl_0Ppyb02Z.pdf)
 
 
Sumber: Yamaha Motor Co., Ltd. 
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.