ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 03, 2024 -Jumaat

 
  IIPM MEMETERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DENGAN MTIB & PENGANJURAN BERSAMA SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN INDUSTRI PERKAYUAN & PERLADANGAN HUTAN

Tuesday 14/03/2017



KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- International Institute of Plantation Management (IIPM) akan memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) perintis dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Tujuan utamanya adalah untuk membina satu landasan perkongsian ilmu dan kepakaran bagi mewujudkan peluang-peluang pendidikan profesional dan latihan formal seperti kursus-kursus jangka pendek khusus untuk menghasilkan tenaga kerja profesional bagi memenuhi keperluan industri perkayuan dan perladangan hutan. Jalinan kerjasama ini juga adalah bertujuan untuk berkongsi khidmat nasihat dan kepakaran dalam aktitiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), membangun program-program baru dan lain-lain kerjasama untuk manfaat kedua-dua belah pihak dan industri.

Merealisasikan pengwujudan kerjasama ini satu Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Health and Safety, OSH)  Industri Perkayuan dan Perladangan Hutan anjuran bersama MTIB dan IIPM akan diadakan pada hari Khamis, 16 Mac, 2017 bertempat di Hotel Bangi-Putrajaya, Selangor dan akan dirasmikan oleh Y. Bhg. Dato’ Dr. Jalaluddin Harun, Ketua Pengarah MTIB.

Sebagai sebuah badan professional bidang perladangan, IIPM sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja khususnya  dalam industri perladangan. Adalah menjadi tanggungjawab IIPM untuk bersama-sama kerajaan mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai satu agenda penting bagi negara untuk melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan dalam melaksanakan budaya kerja selamat dan sihat. Justeru itu, kerjasama di antara MTIB dan IIPM dalam menganjurkan seminar ini amat tepat dalam usaha kedua-dua belah pihak memberi kefahaman mengenai isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada majikan, pekerja dan orang awam khususnya yang terlibat dengan industri perkayuan dan perladangan hutan.

Di samping itu seminar yang dikelolakan bersama ini juga bertujuan untuk mempromosi Pelan Induk KKP 2020 (OSH Master Plan for 2020, OSHMP2020), dan mewujudkan serta meningkatkan kesedaran kepada pematuhan Akta KKP 1994 (OSHA 1994). Seminar ini adalah merupakan satu peluang keemasan bagi para majikan  dan juga pekerja, khususnya yang berkaitan dengan industri perkayuan dan perladangan hutan, untuk mengemaskini pengetahuan mereka mengenai KKP dan Akta KKP 1994. Seminar ini akan menumpu untuk membudayakan Pelan Induk KKP 2020, peranan majikan dan pekerja, pengurusan KKP, peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), amalan terbaik KKP dan pemerkasaan bakat dan kemahiran personel KKP.  

IIPM, sebuah badan profesional yang mewakili semua sektor industri perladangan, telah ditubuhkan pada bulan Mei, 2005 dan adalah merupakan satu cabang daripada Universiti Teknologi Mara (UITM). Institut ini bertujuan untuk menaiktarafkan ikhtisas peladang, keahlian profesional untuk para peladang, meningkatkan pembangunan profesional mereka secara berterusan dan bertindak sebagai pusat rujukan kebangsaan kepada industri perladangan. 

IIPM telah sekian lama menawarkan program-program latihan profesional. Ini termasuklah  kursus-kursus yang dikitiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) seperti Certificate in Plantation Industry Management (CPIM), Professional Diploma in Plantation Management (PDPM), dan Professional Qualifying Examination in Plantation Industry Management (PQE). Program CPIM adalah setara dengan Tahap 3 dan PDPM adalah setara dengan Tahap 4 di dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF). Sementara itu, PQE adalah setara dengan Ijazah Sarjana Muda. Satu lagi program berprestij ialah Kursus Kelayakan Pakar Profesional (Specialist Professional Qualification Course), yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM). Program ini mengkhusus di dalam industri kelapa sawit dan getah. Program ini direkabentuk khas untuk Agen Pelawat Ladang (Plantation Visiting Agent, VA) atau Penasihat Ladang (Planting Advisor, PA) dan juga kepada yang berhasrat untuk menjadi VA atau PA. Lulusan dari program ini akan dianugerahkan dengan gelaran Peladang Bertauliah (Certified Planter, CP). 
 
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1973 oleh Akta Parlimen, adalah merupakan satu badan berkanun di bawah Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi Malaysia. Tujuan utamanya ialah untuk mempromosi dan menyelaraskan pembangunan dan pemerkasaan keseluruhan industri perkayuan dan menjadikannya berdayasaing melalui pengawalaturan, penyediaan sokongan teknikal dan pemasaran, serta latihan yang menekankan kualiti dan penambahan nilai kepada berbagai sektor industri perkayuan.   
 
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan seminar, kursus profesional dan keahlian IIPM, sila layari laman web di www.iipm.com.my. 

SUMBER : International Institute of Plantation Management (IIPM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Najid bin Abd. Rashid
Manager Business Development & Marketing 

Tel : 019 282 2850 / 03 5522 5534
Emel : najid@iipm.com.my

--BERNAMA


 















 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.