ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 28, 2024 -Ahad

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 28 (07 JULAI 2024 - 13 JULAI 2024)

Monday 22/07/2024



KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-28 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,373 kes berbanding 2,805 kes pada minggu sebelumnya. Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28 tahun 2024. 
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-28 adalah sebanyak 80,441 kes berbanding 63,966 kes bagi tempoh sama tahun 2023. Manakala terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding  45 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023. 
 
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28 adalah sebanyak 100 lokaliti berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 100 lokaliti yang dilaporkan, 74 lokaliti di Selangor, enam (6) lokaliti di Negeri Sembilan, enam (6) lokaliti di Perak, enam (6) lokaliti di WPKL & Putrajaya, empat (4) lokaliti di Kedah, dua (2) lokaliti di Pulau Pinang, satu (1) lokaliti di Negeri Sarawak dan satu (1) lokaliti di Sabah. 

Bagi survelan chikungunya, terdapat tujuh (7) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-28. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 54 kes. Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke28. Bagi survelan zika, sebanyak 1,437 sampel darah, lapan (8) sampel urin dan tiga (3) sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Tahukah anda, sampah kulit buah-buahan seperti kelapa, durian, manggis dan rambutan juga berpotensi menjadi  tempat pembiakan nyamuk Aedes? Sampah sebegini sekiranya tidak diuruskan dengan baik dan dilupuskan secara berhemah boleh menakung air dan menjadi tempat yang sesuai untuk nyamuk bertelur, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan denggi. Sewaktu musim buah buahan ini, masyarakat dan peniaga buah-buahan perlu memainkan peranan  untuk terus menjaga kebersihan alam sekitar bagi mengekang penularan wabak denggi. Kegagalan masyarakat mengambil langkah pencegahan sewajarnya dikhuatiri membawa akibat lebih buruk termasuk risiko kehilangan nyawa. Layari laman sesawang iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/ bagi memperolehi maklumat terkini kes, lokaliti hotspot, lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia serta informasi tambahan berkenaan denggi dan pencegahannya. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.


DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN
21 JULAI 2024



Sila klik di sini untuk Lampiran.


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.